16 JUN : Rakyat Johor digesa agar memilih pemimpin yang bijak dan berani yang sealiran dengan Putrajaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat juga memerlukan pemimpin yang mengambil tahu masalah rakyat.
“Buat apa nak sombong, gaduh? Kita perlu pilih pemimpin yang bijak. Kita mahu wakil rakyat di negeri, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), EXCO yang ambil tahu masalah rakyat.
“Kita mahu ketua di negeri, macam PM yang menyerlah. Kawan dengan Donald Trump…kawan dengan Xi Jinping.
“Baru orang hormat kita, kita bebas merdeka, kita berkawan semua orang tapi kita jaga kita punya prinsip. Dia buat tak betul, kita cakap tak betul. Bukan cakap-cakap depan orang.
“Sebab itu pilihan raya ini (PRN) penting, saya minta rakyat pilihlah kerajaan negeri yang boleh bersama dengan Persekutuan.
“Sebab itu, saya kata, pimpinan di Johor ini mesti orang yang bijak dan berani. Barulah dia boleh buat keputusan, jaga kepentingan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan ‘Keadilan Untuk Bangsa Johor’ di Bakri, Muar, malam tadi.
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai depan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan secara rasmi 1 Jun lalu.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata amat penting untuk kerajaan negeri di Johor sealiran dengan pusat bagi memudahkan rundingan dan perbincangan berkait dasar negara.
Katanya, meski Johor sebuah negeri kaya namun masih ada banyak infrastruktur yang memerlukan perhatian kerajaan.
“Negeri ini, negeri kaya. Petang tadi saya pergi sekolah dan dia kata teruk, kantin pun dah rosak. Anak hendak makan pun tak ada tempat.
“Masalah banjir di Muar saya tolong. Berapa ratus juta saya bagi untuk projek tebatan banjir dan saya lulus untuk bantu anda. Sekarang sudah hampir siap dan banjir sudah terkawal,” katanya.