Negara membangun akan cari alternatif lain jika Eropah terus tidak adil
18 JUN : Negara membangun mungkin mencari rakan alternatif lain jika Eropah terus memberi layanan yang tidak adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian merujuk kepada pertikaian berkait kontrak pertahanan dengan Norway.
Menurut Anwar, Malaysia sudah membayar 95 peratus daripada nilai kontrak dengan syarikat Norway sebelum kerajaan Norway membatalkan lesen eksport dan sehingga kini masih tiada penjelasan memuaskan diberi.
“Jika beginilah cara negara Eropah melayan kami, sedangkan negara lain pula memilih untuk berdiam diri, maka kami terpaksa mencari alternatif dan tidak lagi berurusan dengan mereka,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama rangkaian televisyen Rusia, RT.
Norway dilapor membatalkan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) pada Mac lalu, hanya beberapa hari sebelum penghantaran dijadualkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan unilateral itu menyebabkan Malaysia menanggung kerugian melebihi RM600 juta manakala kos tidak langsung boleh melebihi RM1 bilion.
Dalam pada itu, Anwar berkata apa yang berlaku itu tidak masuk akal memandangkan 95 peratus nilai kontrak itu sudah dibayar.
“Tetapi dalam kes ini, perjanjian telah ditandatangani. Kami telah membayar 95 peratus, namun apa yang berlaku ini langsung tidak masuk akal.
“Bagi saya, ia tidak boleh diterima. Amat menyedihkan apabila sebuah negara seperti Norway yang mempunyai hubungan sangat baik dengan Malaysia sebelum ini membuat keputusan sedemikian tanpa sebarang penjelasan.
Menurut Anwar, beliau ada bercakap dengan Perdana Menteri Norway yang memohon maaf atas perkara itu namun dimaklumkan keputusan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan.
“Jadi, mereka melayan kita seolah-olah kita sebuah negara yang tidak mempunyai maruah atau kedudukan. Ia menunjukkan kejahilan yang ketara dan jelas mencerminkan sikap angkuh mereka.
“Kami telah mengemukakan bantahan keras dan perkara ini tidak akan berakhir begitu sahaja,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA