21 JUL : Tiada sebarang arahan melepaskan jawatan terhadap mana-mana anggota Kabinet sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberi peringatan.
Demikian penegasan dibuat Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, Anwar hanya mengingatkan semua anggota pentadbiran supaya mengekalkan semangat perpaduan serta berkempen secara berhemah di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Setakat ini belum ada apa-apa arahan daripada Perdana Menteri. Cuma peringatan agar semua yang berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan mengekalkan semangat perpaduan.
“Ia juga peringatan supaya kita memastikan aspek disiplin dan profesionalisme sentiasa dipelihara ketika berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2 pada Isnin.
Sebelum ini, Menteri Luar yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia melepaskan jawatan Kabinet jika diarahkan Perdana Menteri.
Ia susulan kenyataan Anwar yang mengingatkan calon memegang jawatan dalam pentadbiran agar tidak menyerang kerajaan ketika berkempen sebaliknya memberi tumpuan kepada isu negeri.
Tegas Anwar, mana-mana anggota pentadbiran yang berbuat demikian akan diminta berundur.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Perdana Menteri mengiktiraf proses demokrasi yang membolehkan perbezaan pandangan, termasuk apabila parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bertanding secara berasingan di peringkat negeri.
“Malah, jika kita lihat beberapa PRN sebelum ini, parti-parti juga bertanding secara berasingan.
“Tapi yang ditegaskan adalah jangan berlaku satu keadaan, mesti terus saling hormat menghormati antara penjawat bagi jawatan dalam Kerajaan Perpaduan itu penting.
“Kita tahu sebarang tindakan di pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai implikasi persepsi terutama di kalangan para pelabur sama ada dalam negara mahupun luar negara.
“Jadi Perdana Menteri juga memandang aspek ini dalam kita mengurus perbezaan yang mungkin timbul sewaktu demokrasi berjalan,” katanya.