22 JUL : Kerajaan memberi amaran tegas kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak mencampuri urusan dalaman Malaysia susulan tindakan lapan Ahli Kongresnya yang disifatkan biadab kerana mempertikaikan ketegasan Malaysia untuk mengusir rakyat Israel di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak menguatkuasakan undang-undang imigresennya tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata kerajaan akan menyampaikan pendirian itu kepada Kedutaan AS.
“Kita tidak akan berdiam diri dan sudah pasti akan menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS supaya tidak mencampuri urusan dalaman negara, termasuk berkaitan isu imigresen.
“Malaysia ialah sebuah negara berdaulat. Jika mana-mana pihak atau individu didapati melanggar syarat yang ditetapkan, kita mempunyai kuasa dan hak untuk menghalau serta mengusir mereka.
“Jangan cuba mencampuri urusan dalaman negara kita. Itu bukan perkara yang baik dan kita akan pastikan Kedutaan AS mengetahui pendirian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berkempen di FELDA Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Alimin, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengusir segera rakyat Israel di Malaysia.

Ahli kongres daripada Parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Greg Landsman di akaun Facebook miliknya, kumpulan Ahli Kongres itu menyuarakan kebimbangan serius terhadap pendirian yang dinyatakan Anwar.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Kerajaan Persekutuan turut mengambil pendirian tegas berhubung isu Network School yang didakwa membabitkan individu memiliki kerakyatan Israel dan menetap di Forest City.
Katanya, jemaah menteri yang bermesyuarat hari ini sepakat kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan.
Menurut Fahmi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ada memaklumkan siasatan terhadap 11 individu yang dipercayai memiliki dua kerakyatan sedang diperhalusi.
“Bagi Jabatan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), setakat ini tiada sebarang kesalahan dikenal pasti, namun siasatan masih diteruskan.
“Sehingga petang tadi, Menteri Dalam Negeri memaklumkan tiada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 individu yang telah disiasat dan ditemui oleh Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa,” katanya.
*Foto utama : Anis Alimin