23 JUL : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan kononnya kerajaan sedang memaksa semua rakyat menukar MyKad susulan perubahan alamat kediaman.
Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, JPN menegaskan tiada operasi khas dilaksanakan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang belum mengemas kini maklumat berkenaan.
Menurut JPN, kewajipan mengemas kini maklumat termasuk alamat kediaman, bukanlah peraturan baharu kerana ia sudah lama berkuat kuasa di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990).
“Tiada kempen khusus yang sedang dilaksanakan untuk mewajibkan orang ramai menukar alamat, malah JPN juga tidak menjalankan sebarang operasi khas untuk mengambil tindakan terhadap rakyat yang belum mengemas kini alamat pada MyKad,” menurut kenyataan itu.
JPN menjelaskan tanggungjawab memastikan maklumat pada MyKad sentiasa tepat dan terkini terletak pada setiap pemilik kad pengenalan berkenaan.
Menurut jabatan itu, sekiranya seseorang berpindah ke alamat kediaman baharu yang kekal, mereka digalakkan hadir ke mana-mana pejabat JPN bagi mengemas kini maklumat tersebut.
“Fi penggantian MyKad bagi tujuan itu untuk warganegara adalah RM10,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dakwaan kononnya Kerajaan melaksanakan Peraturan 15 bagi memaksa rakyat menukar MyKad atau meraih keuntungan menerusi kutipan fi.
“Dakwaan sedemikian tidak menggambarkan keadaan sebenar serta boleh mengundang kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
JPN turut menggesa orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak membuat tafsiran sendiri berdasarkan perkongsian yang tidak lengkap atau di luar konteks.
Sebarang pertanyaan berkaitan peruntukan undang-undang atau urusan perkhidmatan JPN boleh dirujuk terus kepada saluran rasmi jabatan itu bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat serta mengelakkan salah faham.