23 JUL : Keselamatan ruang digital tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan akauntabiliti semua pihak bagi memastikan Internet kekal selamat untuk pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata kemajuan digital perlu diukur menerusi aspek akauntabiliti, daya tahan serta manfaat kepada masyarakat.
“Orang ramai tidak akan menilai teknologi hanya berdasarkan sejauh mana kecanggihannya tetapi mereka akan membuat penilaian berdasarkan sama ada teknologi itu selamat, adil dan boleh dipercayai. Pandangan kedua ialah teknologi dan akauntabiliti perlu berkembang seiring.
“Masa depan teknologi bukan sahaja ditentukan oleh perkara yang kita cipta tetapi juga pilihan yang kita buat tentang cara inovasi dikawal dan kepada siapa manfaatnya disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 pada Rabu.
Mengulas cabaran dalam talian, Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan lebih 1.2 juta permintaan bagi menurunkan kandungan di platform media sosial antara 1 Januari 2022 hingga 15 Julai 2026.
Katanya, penyedia platform sudah menurunkan 1.138 juta kandungan memudaratkan daripada jumlah permintaan berkenaan.
“Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Julai 2026, MCMC telah mengeluarkan sebanyak 377,502 lagi permintaan bagi menurunkan kandungan, bersamaan hampir 78 peratus daripada jumlah keseluruhan permintaan yang direkodkan sepanjang 2025.
“Angka ini mewakili purata kira-kira 1,900 permintaan bagi penurunan kandungan dikeluarkan setiap hari, dan sebagai tindak balas, platform terbabit telah menurunkan hingga 350,332 kandungan memudaratkan dalam tempoh 1 Jan hingga 15 Julai tahun ini,” katanya.
Nie Ching berkata peraturan sahaja tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan ruang digital, terutama membabitkan perlindungan kanak-kanak serta akauntabiliti platform.
Sehubungan itu, beliau menggesa penyedia platform, pengawal selia, sekolah, komuniti serta pemain industri berganding bahu bagi membina sistem lebih selamat sejak peringkat reka bentuk.
Katanya, pendekatan itu lebih berkesan berbanding tindakan diambil selepas kemudaratan berlaku.

*Foto : MCMC