24 JUL : Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif pada kadar 10 peratus terhadap Malaysia susulan siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan Malaysia ialah satu daripada 17 ekonomi yang dikenakan kadar itu, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.
Menurut MITI, kadar 10 peratus itu diputuskan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengambil kira komitmen Malaysia melaksana serta menguatkuasakan undang-undang melarang import barangan hasil buruh paksa.
Tarif berkenaan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 pagi waktu AS, 24 Julai 2026 sejurus tamat tempoh tarif sementara di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Dalam perkembangan berkaitan, MITI memaklumkan siasatan Seksyen 301 berhubung isu lebihan kapasiti (Excess Capacity) membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih berlangsung.
Kementerian itu berkata, USTR masih belum menetapkan kadar tarif bagi siasatan berkenaan.
“Setelah USTR menetapkan kadar tarif berkaitan isu lebihan kapasiti, MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan,” menurut MITI.
MITI turut memaklumkan kementerian itu akan meneruskan libat urus bersama pihak AS berhubung perkara berkenaan.