3 OGOS : Pihak berkuasa Indonesia menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan detik-detik seorang juruterbang warga Malaysia ditahan ketika membawa dua bagasi disyaki dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Lelaki berusia 39 tahun itu didakwa menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi bernilai sekitar Rp60 bilion, minggu lalu.
Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia (Bea Cukai) memuat naik video tersebut di akaun Instagram rasmi Bea Cukai, hari ini.
Dalam rakaman itu, suspek berpakaian seragam juruterbang, mengambil sebuah beg pakaian berwarna perak serta menarik sebuah lagi beg hitam menuju ke kawasan pemeriksaan kastam.
Menurut naratif video itu, suspek menggunakan lorong khas kru penerbangan sebelum diarahkan ke bilik pemeriksaan selepas dikenal pasti menerusi proses pemprofilan risiko.
Ketika pemeriksaan, pegawai bertugas menemukan beberapa bungkusan dalam bagasi tersebut.
Selain itu, rakaman tersebut turut menunjukkan penemuan sebotol kecil cecair yang didakwa sebagai air kencing palsu, dipercayai digunakan bagi memanipulasi keputusan ujian air kencing.
Pihak berkuasa turut mendakwa suspek positif MDMA, metamfetamina serta kokain.
Siasatan awal mendapati suspek dijanjikan bayaran RM50,000 bagi melaksanakan penyeludupan itu.