8 OGOS : Mana-mana pihak yang menyalahgunakan amanah dalam pentadbira Tabung Haji (TH) wajar dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar siasatan berkaitan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) TH dilaksanakan secara menyeluruh.
“Titah Baginda Tuanku agar siasatan berhubung RCI Lembaga Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh adalah selari dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap syor dan dapatan disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadap Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur bagi mempersembahkan taklimat berkaitan RCI TH dan FELDA.
Menurut Anwar, TH menguruskan amanah hasil keringat jutaan rakyat termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana juga rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.
Justeru itu tegasnya, amanah sebesar itu tidak seharusnya dikhianati.
“Sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Anwar memaklumkan beliau turut menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi kerajaan agar segala penemuan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.
“Kerajaan MADANI akan terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar berkata Kerajaan MADANI akan memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara bagi membendung jenayah rentas sempadan.
“Kerajaan MADANI juga akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara melalui penguatkuasaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan, sekali gus memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
“Insya-Allah, saya dan seluruh jentera kerajaan akan sentiasa menjunjung titah baginda tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.