24 OGOS : Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan serta tanah termasuk operasi pemadaman segera sekiranya bantuan diperlukan susulan peningkatan risiko jerebu merentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Jumhur Hidayat, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia turut menghargai tindakan pantas kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto dalam meningkatkan usaha memadam kebakaran hutan dan tanah.
“Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo yang melipatgandakan usaha pemadaman kebakaran hutan dan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, usaha Indonesia itu termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), penggunaan helikopter berkapasiti besar untuk operasi pembenihan awan serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif.
Arthur berkata, kedua-dua negara turut komited memperkukuh langkah pencegahan serta pemadaman awal susulan jangkaan fenomena El Niño semakin menguat menjelang Oktober 2026, bertepatan Monsun Barat Daya.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kualiti udara bertambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Malaysia merakamkan penghargaan kepada Indonesia susulan persetujuan membenarkan pesawat Malaysia merentasi ruang udara negara itu bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Arthur berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini merangka jadual operasi sebelum penyelarasan dibuat bersama Panglima TNI.
Beliau berkata, sebarang keperluan khusus daripada Indonesia untuk mendapatkan bantuan Malaysia akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mendapatkan ketetapan selanjutnya.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memantau pergerakan titik panas serta kualiti udara semasa menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MET Malaysia.
Hubungan rapat bersama pihak berkuasa Indonesia turut dikekalkan bagi memastikan tindakan bersepadu dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.