25 OGOS : Urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara bermula esok hingga 31 Ogos susulan proses peralihan kepada MyKad Generasi Baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses berkenaan membabitkan peralihan daripada struktur MyKad sedia ada kepada struktur MyKad Generasi Baharu.
Sehubungan itu, orang ramai tanpa keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad dinasihatkan menangguhkan urusan berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
“JPN sedang melalui proses peralihan daripada MyKad struktur sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu.
Sehubungan itu, urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara bermula 26 Ogos hingga 31 Ogos 2026,” menurut JPN.
Dalam pada itu, JPN memaklumkan bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga turut digalakkan menunggu sementara bagi membolehkan anak menerima MyKad Generasi Baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat.
JPN turut berkata pihaknya menghargai kesabaran serta kerjasama orang ramai sepanjang tempoh peralihan itu, selain memohon maaf atas sebarang kesulitan.
