30 OGOS : Rundingan rasmi UMNO bagi menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dilaksanakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bertanggungjawab mengetuai rundingan tersebut dengan mana-mana parti.
“Kita sudah menyerahkan kepada Yang Berhormat Ketua Menteri (Melaka), Ab Rauf Yusoh dan saya fikir dia akan adakan perbincangan rasmi setelah DUN Melaka dibubarkan.
“Sekarang mungkin perbincangan secara tidak rasmi tetapi rundingan rasmi itu selepas bubar,” katanya.
Beliau berkata demikian berkait pendirian UMNO berhubung kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Melaka.
Ahmad Zahid berkata dalam perbincangan berkait persediaan parti menghadapi PRN Melaka sudah dijalankan dengan keseluruhan Biro Politik UMNO Melaka berhubung berkenaan.
Menurutnya, pembentangan itu turut dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi membincangkan secara terperinci data diperoleh menerusi war room UMNO Melaka.