1 SEPT : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sehingga menjejaskan operasi syarikat terbabit.
Timbalan Perdana Menteri berkata isu itu turut memberi tekanan kepada KKDW apabila kontraktor yang sudah melaksanakan kerja mengikut kemajuan ditetapkan masih berdepan kelewatan menerima bayaran daripada kerajaan.
Katanya, keadaan berkenaan boleh menjejaskan aliran tunai kontraktor sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi, selain berdepan tindakan undang-undang daripada pembekal bahan dan subkontraktor.
Kita tidak terima bayaran kerana puncanya tidak disalurkan kepada kita tetapi kita sering disalahkan. Audit akan menyalahkan projek kita lambat. PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) akan menyalahkan kita lambat.
“Kita efisien, kita segera, kita cepat tapi kalau mereka tidak buat pembayaran, bagaimana kita mahu membayar? Berapa banyak kontraktor yang tutup kedai? Berapa banyak di kalangan mereka yang disaman oleh pembekal bahan? Berapa banyak subkontraktor yang menyaman ‘main’ kontraktor? KKDW disalahkan, tetapi puncanya orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, hari ini.
Menurut Zahid, antara projek yang terkesan termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB) meskipun kontraktor terbabit telah mencapai kemajuan kerja seperti ditetapkan dalam kontrak pembangunan.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana kelewatan bayaran bukan sahaja menjejaskan kontraktor, malah boleh memberi kesan kepada pelaksanaan projek pembangunan luar bandar.
“Dalam masa yang sama, terdapat juga projek pembangunan yang terpaksa diperlahankan atau disusun semula berikutan pelarasan peruntukan kewangan itu.
“Saya memahami kekangan fiskal yang sedang kita uruskan, tetapi perkara ini perlu ditangani secara lebih sensitif,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegur pelaksanaan peruntukan yang disifatkannya tidak selari dengan bajet diluluskan.
“Bajet yang diumumkan hendaklah disalurkan. Jangan tidak ada peruntukan dalam bajet, tetapi itu yang dilaksanakan.
“Yang patut dibayar tidak dibayar, yang tidak perlu dibayar, dibayar. Yang ‘not budgeted for’ dilakukan, yang ‘budgeted for’ tidak dilaksanakan. Itu masalah di hadapan kita. Saya bukan marah, saya ‘hot’ sahaja” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengarahkan semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW untuk menjalankan ‘Operasi Sifar Tertangguh’ bgi memastikan kesemua isu serta projek yang masih tertangguh dapat diselesaikan dalam tempoh berbaki empat bulan tahun ini.
Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada segala projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset serta keputusan yang masih belum diselesaikan.
“Apa yang boleh diselesaikan, selesaikan segera. Apa yang memerlukan intervensi, bawa untuk keputusan dan apa yang tidak lagi praktikal, kita mesti berani membuat keputusan dan menutupnya.
“Jangan lagi ada masalah yang berpindah dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat yang lain tanpa siapa yang benar-benar bertanggungjawab menyelesaikannya,” katanya.
