2 SEPT : Indonesia menyiasat dakwaan rakyatnya direkrut bagi menyertai tentera Rusia yang terlibat dalam peperangan dengan Ukraine.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang berkata pengesahan identiti dan status kewarganegaraan terhadap individu terlibat sedang dilaksanakan bersama kedutaan Indonesia serta kementerian juga agensi berkaitan.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan mereka diperdaya dengan tawaran pekerjaan yang tidak menggambarkan tujuan sebenar.
Tindakan itu susulan dakwaan Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine (SZRU) yang mendakwa sekurang-kurangnya lapan rakyat Indonesia direkrut sebagai tentera Rusia.
Agensi perisikan Ukraine itu turut menerbitkan dokumen tujuh permohonan e-visa dan satu kad migrasi didakwa milik warga Indonesia.
Dalam pada itu, Indonesia bertegas jika mereka disahkan menjadi mangsa penipuan, republik itu akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi rakyatnya.
Namun, jika terbukti menyertai tentera asing secara sukarela, mereka boleh berdepan risiko kehilangan kewarganegaraan kerana undang-undang Indonesia mewajibkan kebenaran Presiden sebelum rakyatnya berkhidmat dalam angkatan tentera negara asing.
Sebelum ini dilaporkan seorang bekas anggota marin Indonesia, Satria Arta Kumbara menyertai pasukan Rusia pada 2025.