2 SEPT : Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya kekangan pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada lebihan komitmen berbanding peruntukan semasa.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican berkata peruntukan jalan luar bandar KKDW sudah disalurkan sepenuhnya, namun kementerian itu sebelum ini membuat komitmen serta perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan tahunan diluluskan.
“Tiada sebarang sekatan dibuat ke atas peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar. Peruntukan tersebut sudah disalurkan sepenuhnya.
“Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Menteri KKDW yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan kelewatan bayaran diterima bagi projek di bawah kementeriannya itu hingga menyebabkan ada syarikat yang terpaksa gulung tikar.
Dalam pada itu, Johan berkata berdasarkan rekod, peruntukan diluluskan sebanyak RM1.1 bilion pada 2022 dan 2023 namun perbelanjaan sebenar meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2023.
Bagi tahun 2024, peruntukan diluluskan sebanyak RM1.13 bilion dan perbelanjaan sebenar KKDW sebanyak RM2 bilion sementara daripada RM1.6 bilion yang diluluskan pada 2025, perbelanjaan sebenar KKDW sebanyak RM2.3 bilion.
Bagi tahun 2026, perbelanjaan direkodkan sebanyak RM1.9 bilion sehingga Jun lalu berbanding peruntukan diluluskan RM2.1 bilion.
Menurutnya, pihak MoF bersama KKDW sedang mengambil langkah menangani isu berkenaan termasuk menyusun semula peruntukan berdasarkan keutamaan.
Setakat ini, MoF meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi tahun 2026 untuk membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Pada masa sama, Johan berkata MoF sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung lebihan komitmen KKDW.
Katanya, setiap kementerian bertanggungjawab merancang serta mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan tahunan yang diluluskan Parlimen.