2 SEPT : Sebanyak RM5.16 juta wang yang diselamatkan daripada kes penipuan dikembalikan kepada mangsa dalam tempoh tujuh bulan pertama, tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu mewakili 65 peratus daripada RM7.94 juta wang yang disita menerusi usaha bersepadu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Apa yang diharap mangsa, kita dapat pulangkan balik duit mereka. Caranya, kita kena hentikan satu lapisan transaksi dan itu antara yang kita lakukan melalui NSRC.
“Bagi kami, pemulangan wang kepada mangsa adalah antara hasil penguatkuasaan yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebingkasan Siber Antarabangsa ke-6, hari ini.
Menurut Saifuddin, peningkatan ancaman siber turut dapat dilihat menerusi laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang menganggarkan operasi penipuan di Asia Tenggara menjana puluhan bilion dolar setiap tahun.
“Di Malaysia, angka 2025 merekodkan 66,204 kes jenayah siber dengan kerugian RM2.97 billion dan pada 2024, kesnya adalah 35,368 dengan kerugian RM1.57 bilion. Angka ini menunjukkan peningkatan sekali ganda.
“Kita juga menganggarkan bahawa 100,000 kanak-kanak berdepan dengan eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian setiap tahun,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata ancaman terhadap kanak-kanak dalam talian turut membimbangkan apabila kes bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) meningkat kepada 152 kes pada tahun lalu berbanding 68 kes pada 2024.
Sebanyak 100 kes pula direkodkan sehingga pertengahan tahun ini.
“Sehingga April 2026, Ops Cyber Guardian melalui kerjasama tujuh negara, kami berjaya membawa kepada penahanan 69 individu dan kami rampas 498,694 fail digital, termasuk 205,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata seramai 746 rakyat Malaysia telah menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara sehingga 28 Ogos lalu.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh agensi penguatkuasaan perlu dipertingkatkan bagi menyaingi keupayaan penjenayah siber yang semakin kompleks dan beroperasi merentasi sempadan.
“Dalam konteks perbincangan kami adalah bagaimana alat AI ini boleh kami manfaatkan dalam kalangan pembuat dasar dan agensi penguatkuasaan untuk menghadapi penjenayah yang juga semakin canggih.
“Dia pun (guna) teknologi siber juga. Dia jauh ke depan dan bersifat rentas sempadan. Dia bukannya penjenayah konvensional, dia adalah sindiket jenayah dan AI Generatif, satu fenomena baharu ketika ini. Saya kata bahawa ketika pelaku jenayah itu sudah menguasainya, kita tak boleh berada di takuk lama,” katanya.
