8 SEPT : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima individu yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas di Long Lellang, Marudi, Sarawak berdepan cabaran cuaca berjerebu serta lokasi kejadian yang sukar diakses.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasukan SAR masih dalam usaha untuk tiba di lokasi kejadian dengan perjalanan darat dari Marudi mengambil masa kira-kira 10 jam.
Beliau berkata, keadaan cuaca berjerebu menyebabkan operasi menggunakan helikopter tidak dapat dijalankan selepas tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari Pangkalan Udara PDRM Kuching.
“Operasi SAR masih diusahakan memandangkan kawasan kejadian agak terpencil dan mengambil masa lebih kurang 10 jam perjalanan darat dari Marudi.
“Manakala perkhidmatan udara menggunakan helikopter tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang oleh CAAM dari Pangkalan Udara PDRM Kuching,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR ketika ini bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota Rela dan polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.
“Pasukan SAR akan seberapa segera tiba di lokasi kejadian.
“Butiran penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.
Dalam kejadian kira-kira 3.32 petang tadi, sebuah helikopter yang disewa bagi menyediakan perkhidmatan doktor udara (FDS) dilaporkan terhempas di hujung landasan lapangan terbang di Long Lellang.
Maklumat awal mendapati lima individu berada dalam helikopter berkenaan melibatkan seorang juruterbang dan empat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
