8 SEPT : Seorang juruterbang dan empat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan maut dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak, petang tadi.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan berita duka itu.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, saya belum dapat memberikan nama mangsa yang meninggal dunia ketika ini,” katanya, lapor Borneo Post.
Menurut gambar yang tersebar di media sosial, nahas helikopter itu melibatkan Kapten Zainol; Dr Ainul Baraah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Dalam kejadian kira-kira 3.32 petang tadi, helikopter yang disewa bagi menyediakan perkhidmatan doktor udara (FDS) dilaporkan terhempas di hujung landasan lapangan terbang di Long Lellang.
