8 SEPT : Hubungan dalam Jemaah Menteri kekal baik dan tidak terjejas meski pelbagai dakwaan tersebar terutama di media sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan itu menjamin kestabilan politik sekali gus membolehkan kerajaan fokus merancang untuk negara.
“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar yang jelas, politik yang stabil, kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan sangat baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan membolehkan kita merencanakan untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), hari ini.
Terdahulu, timbul desas-desus yang mendakwa hubungan Anwar dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semakin tegang hingga menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung lebih singkat.
Sumber menyebut, ketegangan itu berkait dengan tindakan Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan (PH) pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pertumbuhan 6% yang dicatat Malaysia baru-baru ini lebih tinggi daripada jangkaan atau unjuran yang dibuat oleh institusi-institusi kewangan termasuk Bank Dunia.
Beliau berkata, pencapaian itu hasil daripada dasar yang jelas serta keupayaan penjawat awam melaksanakannya dengan berkesan.
“Tiada satu unjuran dari IMF, Bank Dunia, Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi yang menjangkakan Malaysia mencatat pertumbuhan 6 peratus pada suku tahun, baru-baru ini.
“Ini semua kerana berkat dasar jelas dan upaya melaksanakan. Kalau dasar baik tapi penjawat awam ambil sikap leka, tidak melaksanakan dengan baik tentunya kita tidak dapat prestasi yang begini baik,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian semasa sebaliknya terus berusaha meningkatkan prestasi.
