9 SEPT : Gunung Anak Krakatau kembali meletus awal hari ini dengan abu gunung berapi dikesan mencapai ketinggian sehingga 7,000 kaki dan bergerak ke arah barat laut.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) memaklumkan letusan berlaku pada 12.47 pagi waktu tempatan selama 28 saat dengan amplitud seismik maksimum 51 milimeter, manakala ketinggian letusan tidak dapat diperhatikan.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) berkata, analisis imej satelit Himawari-9 pada 7 pagi Rabu menunjukkan abu gunung berapi itu bergerak ke arah barat laut dan meliputi sebahagian kawasan Teluk Lampung.
“Orang ramai, khususnya mereka yang berada di sekitar selatan Lampung dinasihatkan supaya terus berwaspada, tidak panik dan mendapatkan maklumat rasmi daripada BMKG, PVMBG, Badan Geologi serta pihak berkuasa tempatan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Letusan itu menyusuli tiga letusan direkodkan pada Selasa selepas fasa letusan berterusan selama kira-kira 25 jam bermula 11.07 malam Jumaat reda sejurus selepas tengah malam Ahad.
Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera kekal pada Tahap III iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia.
Pihak berkuasa turut memberi amaran potensi berlaku letusan susulan masih tinggi.
Dalam perkembangan sama, PVMBG menerusi laman sesawangnya melaporkan tiga lagi gunung berapi di Indonesia turut meletus pada Rabu.
Gunung Semeru di Jawa Timur meletus pada 12.15 pagi dan sekali lagi pada 5.11 pagi, namun ketinggian letusan tidak dapat diperhatikan.
Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur pula meletus tiga kali masing-masing pada 5.03 pagi, 5.56 pagi dan 9.51 pagi, menghamburkan abu setinggi 400 hingga 600 meter dari puncak sebelum bergerak ke arah barat laut dan barat.
Sementara itu, Gunung Ibu di Maluku Utara meletus pada 5.27 pagi dan 9.19 pagi, dengan abu masing-masing mencapai ketinggian 400 meter dan 600 meter dari puncak serta bergerak ke arah timur laut dan timur.