9 SEPT : Harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi meningkat 25 sen seliter bagi tempoh 10 September hingga 16 September 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga runcit RON97 RM4.50 seliter, RON95 RM4.02 seliter dan diesel RM4.92 seliter.
“Harga minyak mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
“Harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum mencecah AS$97.31 setong pada Isnin. Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan berbalas yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran. Pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat,” menurut MoF dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MoF berkata gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.
Katanya, harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut.
“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.
“Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” kata MoF lagi.
Namun MoF berkata, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.02 seliter.
Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 seliter, bersamaan 50 peratus (%) daripada harga tanpa subsidi.
Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.82 seliter atau 57% daripada harga tanpa subsidi.
Mulai 1 September 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter.
Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MoF.