21 SEPT : Seorang lelaki dipercayai mencampakkan anak saudaranya yang berusia lima tahun ke sungai ketika mengamuk di Kampung Padang, Tanjung Sedili, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Kanak-kanak perempuan malang itu kemudian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata suspek berusia 37 tahun turut mengejar bapa mangsa, 40 dengan sebilah parang dan mengugut untuk mencederakannya.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek.
“Bagaimanapun, seorang anggota polis cedera disebabkan berlaku pergelutan ketika cuba menangkapnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Yusof, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek yang dipercayai mengalami masalah mental akan direman esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.