22 SEPT : Bakat dan kepakaran anak tempatan perlu diterjemahkan kepada teknologi serta produk sendiri supaya Malaysia tidak terus sekadar menjadi penyumbang tenaga kerja kepada industri global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia perlu melangkah lebih jauh dengan membangunkan, mengkomersialkan serta memiliki lebih banyak teknologi yang dihasilkan menerusi kepakaran tempatan.
Menurutnya, meskipun Malaysia sudah mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta pembuatan termaju, lebih banyak pengetahuan tempatan perlu diterjemahkan kepada harta intelek (IP), produk dan syarikat milik Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, kepakaran anak tempatan perlu diberi ruang untuk berkembang sehingga mampu mencipta nilai, teknologi dan perniagaan yang manfaatnya dapat dirasai dalam negara.
“Malaysia telah lama menjadi destinasi utama bagi pelaburan dan pembuatan. Langkah seterusnya adalah untuk membina lebih banyak nilai daripada keupayaan yang sudah kita miliki.
“Bakat semata-mata tidak mencukupi. Kita mesti memastikan lebih banyak ilmu pengetahuan dan kepakaran yang ada akhirnya dapat melahirkan teknologi, harta intelek serta syarikat Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, hasil kajian di universiti tidak seharusnya berakhir di makmal atau sekadar menjadi bahan penerbitan, sebaliknya perlu diberi peluang untuk berkembang sehingga boleh digunakan dalam kehidupan sebenar.
Menurutnya, banyak hasil penyelidikan memerlukan sokongan lanjut sebelum mampu menembusi pasaran, termasuk dari segi pembiayaan, rakan strategik dan peluang untuk diuji dalam keadaan sebenar.
“Penyelidikan yang berkualiti memerlukan lebih daripada sekadar pembiayaan pada peringkat permulaan. Ia memerlukan modal yang tepat, rakan strategik serta laluan ke pasaran yang jelas untuk terus berkembang.
“Jika kita berjaya melaksanakan perkara ini dengan betul, kita bukan sahaja akan membiayai lebih banyak penyelidikan, malah akan membiayai lebih banyak hasil dan impak yang nyata” katanya.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah penyelidikan tidak sepatutnya hanya diukur melalui bilangan kajian, paten atau prototaip yang dihasilkan.
Sebaliknya, nilai sebenar sesuatu penyelidikan dapat dilihat apabila hasilnya mampu membantu menyelesaikan masalah masyarakat, memberi manfaat kepada industri dan membuka peluang ekonomi baharu.

*Foto : Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi