7 OKT : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 31 Oktober ini dan 10 November ini bagi pengundian awal.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Urusan PRN Melaka ke-16 yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, hari ini.
“Bagi maksud menjalankan PRU DUN Melaka ke-16, SPR menetapkan tarikh penting seperti berikut. Tarikh keluar writ pada 7 Oktober 2026, tarikh penamaan calon pada 31 Oktober 2026, hari undi awal pada 10 November 2026 dan hari mengundi pada 14 November 2026,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, hari ini.
Beliau turut mengesahkan seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini di mana seramai 675,166 orang daripada jumlah itu merupakan pengundi biasa manakala 9,769 merupakan tentera dan pasangan serta 2,762 lagi anggota polis.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pada PRN Melaka, SPR memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) di setiap pusat mengundi melibatkan 28 bahagian pilihan raya DUN Melaka
PRN Melaka kali ini diadakan selepas DUN Melaka ke-15 dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu.
Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 22 September selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Ab Rauf ketika mengumumkan perkara itu berkata, pembubaran DUN dibuat berdasarkan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka bagi memberi laluan kepada PRN.
Beliau turut memaklumkan urusan pentadbiran negeri akan diteruskan seperti biasa dalam kapasiti kerajaan sementara sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk selepas pilihan raya.
Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
SPR sebelum ini menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berhubung pembubaran DUN Melaka ke-15 yang berkuat kuasa pada 23 September.