16 OKT : Seorang bekas menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti politik ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki berkhalwat bersama seorang wanita di sebuah kediaman di Petaling Jaya, petang semalam.
Pemimpin berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang menerusi serbuan lima anggota penguat kuasa JAIS di kediaman berkenaan.
Sumber berkata, ketika serbuan dilakukan, pemimpin terbabit dan wanita berkenaan yang juga seorang pengasas badan bukan kerajaan (NGO) berada di dalam rumah itu, lapor media tempatan.
Kedua-dua individu kemudian dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam untuk proses dokumentasi.
Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini mengesahkan penahanan tersebut.
Menurutnya, kedua-dua individu disiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak menjadikan kes berkenaan sebagai bahan spekulasi, perdebatan atau fitnah sehingga mengaibkan mana-mana individu.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan dakwaan yang belum disahkan berhubung kes berkenaan.