17 OKT : Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau adalah antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes disyaki berkhalwat di Petaling Jaya,15 Oktober lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, beliau mengakui perbuatan itu satu kesalahan dan memohon maaf kepada isteri serta keluarga kedua-dua pihak, selain semua yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
“Saya ingin menjawab laporan tentang tangkapan oleh JAIS dalam kes dua individu bukan muhrim berdua-duaan di dalam tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober 2026. Saya ingin mengesahkan saya adalah salah seorang daripada individu dalam insiden tersebut,” katanya.
Nik Nazmi berkata, beliau tidak berniat memanjangkan isu itu dan akan memberikan kerjasama bagi sebarang proses perundangan yang perlu dilalui.
Menjelaskan kejadian itu, beliau berkata, perbincangan bersama rakan-rakannya pada mulanya berlangsung di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum mereka memutuskan untuk menyambung perbincangan di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang sedang dibincangkan.
“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan.
“Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada parti BERSAMA susulan kontroversi itu.
“Saya juga memohon maaf kepada parti BERSAMA kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong BERSAMA, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti,” katanya.
Nik Nazmi berharap semua pihak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak memanjangkan perkara itu menerusi media.
Semalam, JAIS mengesahkan penahanan itu dan mamaklumkan kedua-dua individu disiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.