19 OKT : Krisis membabitkan institusi diraja dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan tidak seharusnya mengganggu tumpuan wakil rakyat terhadap kebajikan rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di negeri itu supaya tidak mencampuri urusan DKU dan institusi diraja, sebaliknya melaksanakan tanggungjawab berdasarkan mandat yang diberikan pengundi.
Ahmad Zahid berkata, BN berpendirian isu berkaitan undang-undang dan institusi diraja perlu diasingkan daripada urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri Sembilan walaupun tidak mempunyai Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) sekarang ini, mereka sedang menyediakan draf untuk pembentangan Belanjawan 2027 bagi negeri.
“Itulah sebabnya nasihat saya pada ADUN kita supaya tidak lagi campur tangan dalam DKU dan institusi diraja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ADUN BN perlu berkhidmat sesuai mandat yang diberikan rakyat.
“Kita tumpukan memberikan perkhidmatan kerana wakil rakyat dipilih rakyat, mandat sudah diberikan,” katanya.
Kemelut di Negeri Sembilan yang tercetus susulan pertikaian membabitkan institusi diraja dan undang negeri itu sehingga kini masih belum mencapai titik noktah.
Perkembangan itu turut berlaku ketika kerajaan negeri berdepan keadaan tanpa barisan Exco sekali gus meletakkan kepentingan kelangsungan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sebagai antara perkara utama.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata pengumuman mengenai kerjasama politik BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 akan dibuat dalam masa terdekat.
Katanya, beliau sudah meneliti perkara itu dan meminta Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengumumkan keputusan berkenaan.
“Saya sudah meneliti dan meminta supaya Datuk Seri Ab Rauf membuat pengumuman mengenainya,” katanya.
Sebelum ini, Ab Rauf dilaporkan berkata BN akan mengumumkan calon yang bakal bertanding pada PRN Melaka pada 28 Oktober ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.