20 OKT: Aset bernilai RM4.3 bilion dibekukan manakala RM1 bilion lagi disita Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman menerusi beberapa siri siasatan kes jenayah ‘mafia korporat’ dari akhir 2022 hingga September lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam tempoh sama pasukan itu turut melucut hak RM48.3 juta dan mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion bagi kes berkenaan.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dana bernilai RM37.53 bilion berkaitan kes berkenaan, dengan RM28 bilion daripadanya membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyelesaian hutangnya.
“Dalam konteks ini (rampasan oleh BNM dan SPRM), sebahagian daripadanya iaitu RM28 bilion, membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hutangnya.
“Sejumlah RM28 bilion daripada RM37.53 bilion ini untuk menyelesai atau melangsaikan hutang 1MDB,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ‘mafia korporat’, selain mengarahkan laporan lengkap siasatan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata, satu pasukan petugas khas diketuai Peguam Negara ditubuhkan bagi menyelaraskan siasatan membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pasukan AMLA.
“Saya minta Peguam Negara mengetuai satu pasukan petugas khas yang melibatkan semua badan penguatkuasaan, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta (pasukan) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Saya minta laporan lengkap disediakan supaya orang ramai tidak menganggap perkara ini tidak telus atau ada pihak yang mahu dilindungi. Laporan itu perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
“Laporan ini bukan sekadar laporan untuk penjawat awam atau kerajaan. Saya minta supaya laporan itu didedahkan kepada umum.
“Jika ada bukti, keluarkanlah, tidak kira siapa. Misalnya, nama yang disebut tadi ialah (Tan Sri) Azam Baki, (Datuk Seri) Farhash Wafa Salvado dan Victor Chin,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar mengakui kegiatan ‘mafia korporat’ di negara ini berpunca daripada kelemahan sistem dan ketelusan yang diwarisi sejak puluhan tahun lalu sehingga membuka ruang kepada pelbagai salah laku dalam urusan korporat.
Beliau berkata, kegiatan itu dikesan sejak 1980-an, antaranya membabitkan syarikat gergasi Multi-Purpose Holdings Berhad (MPHB) yang didakwa dipaksa dijual.
Menurutnya, kelemahan sistem berkenaan turut dikaitkan dengan urusan pembelian dan pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, manipulasi pasaran saham, pelanggaran keperluan pendedahan korporat serta kegiatan pinjaman wang haram yang disertai ugutan.
Anwar turut mendedahkan beberapa kes membabitkan syarikat dan institusi kewangan yang menurutnya mempunyai kaitan dengan pengaruh Menteri Kewangan ketika itu.
“Umpamanya, syarikat dimiliki Lim Tian Kiat, dijual kepada kumpulan diketuai Datuk Seri Akbar Khan dan Chan Ching Tiung, selain ini semua dikaitkan dengan Menteri Kewangan ketika itu.
“RHB Bank yang dikelolakan Tan Sri Abdul Rashid Hussein tetapi beliau dipaksa melepaskan pegangan dan akhirnya kehilangan penguasaan (dalam syarikat berkenaan). Ini pun yang memiliki adalah orang ada kaitan dengan bekas Menteri Kewangan.
“Phileo Allied Bank antara bank berkembang pesat ketika itu dipaksa untuk disatukan dan atas arahan bekas Menteri Kewangan, tetapi dilepaskan kerana kepentingan bekas menteri dalam Langkah Sdn Bhd yang kemudiannya memiliki (pegangan syarikat terbabit),” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ termasuk pelanggaran undang-undang dan tindakan yang diambil.