20 OKT : Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akui sudah bersedia menghadapi proses sistem perundangan negara, esok.
Menurut Mohd Shuhaily, beliau reda dan menghormati sebarang keputusan mahkamah.
“Esok saya bersedia untuk menghadapi proses sistem perundangan negara.
“Saya reda dan menghormati apa juga keputusan serta akan hadir ke mahkamah,” katanya, lapor Sinar Harian, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau akan didakwa di mahkamah berhubung insiden kekasaran melibatkan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Terdahulu, media melaporkan Mohd Shuhaily akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota berkenaan.
Selain itu, perkara itu turut disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di mana pendakwaan akan dijalankan di Mahkamah Majistret Sepang, pagi esok melibatkan dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan dan doa dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang terus mendoakan dan mempermudahkan urusan saya menjalankan tugas,” katanya.
Mohd Shuhaily turut mengesahkan bahawa sudah dimaklumkan mengenai proses pertuduhan yang dijadualkan berlangsung di mahkamah.