20 OKT : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan mana-mana ahli kerabat diraja negeri itu menyalahgunakan kedudukan untuk memperdaya pihak lain demi kepentingan peribadi.
Baginda bertitah, status sebagai kerabat diraja bukan alasan untuk seseorang bertindak sesuka hati, sebaliknya setiap ahli keluarga perlu menghormati undang-undang serta mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
Baginda turut mengingatkan setiap kerabat supaya bertanggungjawab menjaga nama baik keluarga dan institusi diraja Selangor kerana tingkah laku individu boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap keseluruhan keluarga diraja.
“Kita juga mempunyai amanah untuk menjaga nama baik kerabat dan institusi diraja Selangor. Setiap kerabat bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan tindakannya kerana perbuatan seseorang boleh memberi kesan kepada pandangan masyarakat terhadap seluruh keluarga diraja Selangor.
“Cara kita membawa diri, berinteraksi dengan masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab hendaklah mencerminkan maruah serta kewibawaan keluarga dan institusi,” titah baginda, lapor Bernama.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, hari ini.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh kerabat diraja supaya terus bersatu mempertahankan martabat institusi Raja, memelihara kehormatan keluarga serta menunjukkan teladan yang baik ketika berinteraksi dengan masyarakat.
Baginda turut mengingatkan ahli kerabat agar mengelakkan permusuhan dan tidak membiarkan perselisihan kecil menjadi punca perpecahan dalam keluarga besar diraja Selangor.
Titah baginda, perbezaan pandangan dan salah faham perlu diselesaikan secara bijaksana tanpa mengeruhkan keadaan menerusi perbuatan mengadu domba, penyebaran cerita tidak benar atau kata-kata yang menyinggung perasaan.
“Peliharalah tutur kata dan adab termasuk ketika menggunakan media sosial, serta amalkan sikap saling memahami, bertolak ansur dan saling memaafkan. Beta juga menyeru agar ahli kerabat sekalian saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain.
“Janganlah kita hanya berkumpul ketika majlis dan keraian semata-mata, tetapi hendaklah turut hadir memberikan sokongan, bantuan ketika saudara kita berdepan dengan kesulitan serta masalah,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menekankan kepentingan memupuk nilai kasih sayang, sikap bertanggungjawab serta rasa hormat antara generasi tua dan muda supaya nilai murni itu dapat diwarisi generasi seterusnya.
Pada majlis sama, baginda menzahirkan sukacita dengan kehadiran hampir 1,200 ahli kerabat diraja Selangor dan berkenan menghimpunkan keluarga besar itu sempena sambutan Jubli Perak pemerintahannya bagi mengeratkan silaturahim.