21 OKT: Bersatu menggantung keahlian Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 14 Oktober 2026 yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.
Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim mengesahkan perkara itu selepas surat penggantungan berkenaan tular di media sosial.
“Ya betul, surat dikeluarkan minggu lepas lagi. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan Bersatu Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS,” katanya, lapor Sinar Harian.
Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar digantung keahlian selepas Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada 13 Oktober lalu memutuskan tindakan itu mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Tindakan berkenaan diambil susulan dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Susulan penggantungan itu, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, beliau masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.