KENYATAAN MEDIA
TAN SRI ABANG JOHARI ABANG OPENG
PREMIER SARAWAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih atas kehadiran semua pihak ke sidang media ini.
Pada hari ini, saya telah diperkenankan menghadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (TYT) untuk membincangkan pelbagai perkara, khususnya perkara yang berkaitan dengan kepentingan Sarawak, termasuk tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 mula bersidang pada 14 Februari 2022. Menurut Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri hendaklah terus berfungsi selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya, melainkan dibubarkan lebih awal.
Sejak memperoleh mandat daripada rakyat Sarawak dalam pilihan raya pada 18 Disember 2021, kerajaan saya telah berusaha untuk memajukan pembangunan Sarawak, memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan awam, serta mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sesungguhnya, Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencapai pelbagai kejayaan, seperti yang telah saya nyatakan dalam ucapan penggulungan saya pada persidangan DUN yang baru sahaja selesai. Pencapaian tersebut mencerminkan usaha Kerajaan GPS untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sarawak yang lebih baik.
Memandangkan penggal pentadbiran ini semakin menghampiri penghujungnya, adalah wajar untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat. Selaras dengan amalan demokrasi berparlimen dan bagi memastikan hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan secara demokratik terus terpelihara, rakyat Sarawak perlu diberikan peluang untuk melaksanakan hak demokrasi mereka bagi memilih dan membentuk sebuah kerajaan baharu dengan mandat segar untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak.
Sehubungan dengan itu, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah memperkenankan permohonan saya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, TYT telah memperkenankan pembubaran DUN yang berkuat kuasa mulai 26 Oktober 2026.
Oleh itu, selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut. Dewan Undangan Negeri yang baharu pula hendaklah dipanggil untuk bersidang pada suatu tarikh yang tidak melebihi 120 hari dari tarikh pembubaran berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran ini bagi membolehkan segala persiapan yang perlu dilaksanakan. Tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian akan ditentukan serta diumumkan oleh SPR.
Dalam tempoh ini, kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerajaan sementara, dengan mematuhi segala keperluan dan amalan yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan terus beroperasi bagi memastikan segala keperluan dan kebajikan rakyat sentiasa diberikan perhatian.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang penggal pentadbiran ini. Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota perkhidmatan awam atas dedikasi serta khidmat bakti mereka kepada rakyat Sarawak.
Akhir sekali, saya menyeru semua pihak, khususnya parti-parti politik, calon-calon dan para penyokong, agar sentiasa menghormati undang-undang serta menjaga tingkah laku dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya nanti.
Marilah kita bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak yang amat kita hargai, sekali gus membolehkan rakyat membuat pilihan secara bebas dan dengan penuh keyakinan demi masa depan Sarawak yang tercinta.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI ABANG JOHARI ABANG OPENG
PREMIER SARAWAK

*FOTO: UNIT KOMUNIKASI AWAM SARAWAK