24 OKT : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengakui lebih bimbang terhadap kemungkinan sabotaj dalaman berbanding ancaman parti lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, keyakinan terhadap kekuatan parti belum menjamin kemenangan, terutama apabila BN pernah memenangi PRN tetapi tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) di kerusi Parlimen.
“Jadi malam ini saya memohon kepada semua pejuang-pejuang yang ada dalam Jasin ini…jangan leka.
“Walau nampak kita hebat, belum tentu lagi kita boleh menang. Kita dah ada pengalaman, menang PRN tapi kalah PRU Parlimen dan pengalaman ini mengajar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Peringkat Parlimen Jasin yang dihadiri kira-kira 2,000 jentera parti, hari ini.
Menurutnya, pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran supaya jentera parti tidak mengambil mudah persaingan pada PRN akan datang.
“Saya tak takut nak melawan parti lawan…yang saya takut ada sabotaj dalaman. Saya tak nak nanti (ada) gunting dalam lipatan, kita tak nak orang yang ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’. Saya tak nak dia tidur sama dengan kita tapi dia tak suka dengan kita…musuh dalam selimut.
“Selimut politik kita, tak ada musuh. Gunting kita tak akan menggunting pakaian yang kita pakai, duri kita tak akan mencucuk daging yang bakal kita makan.
“Kita adalah satu gagasan yang menjalankan perjuangan ini tanpa prasangka. Insya-Allah Allah akan memberkati perjuangan kita,” katanya.
Ab Rauf berkata, seluruh jentera perlu bergerak sebagai satu pasukan dan melaksanakan perjuangan parti tanpa prasangka bagi memastikan matlamat bersama dapat dicapai.
