30 OKT : Tiada solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Klawang, Jelebu hari ini selepas imam meletakkan jawatan, Selasa lalu.
Kesemua jemaah yang hadir diminta menunaikan solat Zuhur, hari ini.
Difahamkan, peletakan jawatan imam bertauliah itu berpunca daripada bantahan terhadap arahan supaya nama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Azrin Khairi yang dikaitkan dengan kedudukan Undang Luak, dimasukkan dalam khutbah Jumaat.
Imam terbabit difahamkan mengambil keputusan itu selepas menerima arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya nama Undang Luak Jelebu yang baharu dimasukkan dalam teks khutbah.
Keputusan peletakan jawatan itu turut dimaklumkan kepada pegawai JHEAINS untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, JHEAINS mengeluarkan surat arahan bertarikh 26 Oktober 2026 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Pengerusi Surau Kebenaran Jumaat berhubung penggunaan teks khutbah yang disediakan jabatan itu.
Surat berkenaan memaklumkan JHEAINS menerima mandat daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi surat bertarikh 16 Oktober 2026 untuk menyediakan, mengeluarkan, mengedarkan atau memperakui teks khutbah bagi kegunaan masjid dan surau di negeri ini.
Kuasa berkenaan diperuntukkan di bawah Seksyen 15 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (Pindaan 2024).
Sehubungan itu, semua pengerusi masjid dan surau Jumaat diarahkan memastikan khatib menggunakan teks khutbah yang dikeluarkan JHEAINS.
Kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 113A(2) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2004), yang menetapkan kesalahan bagi individu menyampaikan khutbah selain teks yang disediakan, dikeluarkan, diedarkan atau diperakui Majlis.