12 DIS : Amerika Syarikat mengesahkan kumpulan pertama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berundur dari bandar di selatan Lubnan, semalam.
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan tentera Lubnan sudah memasuki bandar itu sesuai perjanjian gencatan senjata.
Ketua Komando, Jeneral Erik Kurilla berkata pengunduran itu sebagai langkah pertama ke arah dalam pelaksanaan pemberhentian permusuhan berpanjangan.
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berkata penempatan tentera di Khiam dan Marjayoun merupakan langkah asas untuk memperkukuh penempatan tentera.
“Kami hargai usaha tentera ke arah mewujudkan kestabilan di selatan,” kata Mikati melalui hantaran di X.
Sementara Israel dalam satu kenyataan mengatakan Briged Ketujuh IDF itu sudah menyelesaikan misi mereka di Khiam.
“Selaras dengan persefahaman gencatan senjata dan dengan koordinasi AS, tentera Angkatan Bersenjata Lubnan sedang dikerahkan di kawasan itu bersama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), misi pengaman PBB di kawasan itu,” kata Israel.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 27 November dan secara amnya masih bertahan walaupun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB akan dikerahkan di selatan Lubnan manakala tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.
Hizbullah juga dijangka menarik balik pasukannya ke utara Sungai Litani dan membongkar infrastruktur ketenteraannya di selatan Lubnan.