15 MEI : Kesemua calon yang bertanding bagi mana-mana jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR diingatkan agar tidak berkempen dengan memupuk rasa benci kepada calon lain.
Ketua Penerangannya, Datuk Fahmi Fadzil berkata hal ini kerana kesemua ahli akan saling memerlukan usai pemilihan itu kelak.
“Sebagai sebuah parti yang lahir di jalanan, PKR sebuah parti yang umpama direbus tak masak, dibakar tak hangus… itulah semangat kita.
“Namun begitu, saya nak ingatkan pada semua janganlah sampai memupuk rasa benci pada rakan calon yang lain sepanjang berkempen kerana kita akan saling memerlukan selepas ini,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Rapat Akar Umbi bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Shah Alam, malam tadi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menyifatkan pemilihan itu sebagai pertandingan adik-beradik di mana semuanya perlu kembali bersatu sebaik keputusan diumumkan.
“Pemilihan ini adalah pemilihan adik-beradik, kita nakkan selepas 24 Mei, tidak kira siapa menang atau siapa kalah, kita harus kembali mengumpul seluruh kekuatan untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Saya percaya kita tak nak serabutkan pemikiran Presiden iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau sedang bekerja keras untuk negara dan beliau merupakan the right man at the right place and the right time untuk kita semua dan negara,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan memaklumkan Anwar sudah memberi jaminan tidak akan berlaku perubahan dalam kepimpinan kerajaan selepas pemilihan PKR.