16 MEI : Selari dengan sasaran awal, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 (S1 2025).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perkembangan itu menunjukkan ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan yang mengatasi pertumbuhan 4.2 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pertumbuhan tersebut dipacu sektor Perkhidmatan (5%), Pembuatan (4.1%) dan Pembinaan (14.2%) disokong perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan pra-Hari Raya Aidilfitri, pelaksanaan gaji minimum baharu mulai Februari 2025 dan kenaikan gaji penjawat awam.
Menurutnya, pelaburan turut menunjukkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan sebanyak 9.7 peratus yang menandakan keyakinan pelabur terhadap dasar pro-pembangunan negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Penggunaan swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, mencatat peningkatan 5 peratus. Ini disokong pasaran buruh yang kukuh dengan kadar pengangguran menurun ke paras 3.1 peratus dan inflasi kekal rendah pada 1.5 peratus dimana ia merupakan antara yang terendah dalam sejarah kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.
Namun katanya, kerajaan turut mengambil kira risiko luaran termasuk kelembapan permintaan global, ketegangan geopolitik dan amalan perlindungan perdagangan terutamanya tarif balas yang diumumkan Amerika Syarikat.
Menurut Hamzah, unjuran pertumbuhan rasmi tahun 2025 iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus mungkin disemak semula bergantung kepada kestabilan isu tarif global.
Dalam pada itu katanya, sebagai langkah memperkukuh asas dalaman, kerajaan merancakkan pelaburan langsung domestik (DDI), termasuk komitmen sebanyak RM25 bilion oleh GLIC melalui program GEAR-UP.
“Malaysia telah mula menuai hasil awal strategi kepelbagaian pasaran dengan peningkatan eksport dan pelaburan ke pasaran bukan tradisional seperti Mesir, Pakistan, dan Kemboja.
“Kerajaan Madani juga akan mempercepat pelaksanaan agenda reformasi ekonomi, termasuk kelestarian fiskal, pembangunan modal insan dan jaringan keselamatan sosial bagi memastikan pertumbuhan negara kekal inklusif, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar,” katanya.