20 JUN : Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Sri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 23 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Mohd Khalid, 60 yang dilahirkan di Manong, Perak itu berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Beliau merupakan seorang pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan atau keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun sama.
“Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara. Beliau pernah menjawat jawatan key-post sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Mohd Khalid dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.
“Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 sehingga kini.
“Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain yang bersara wajib pada Ahad ini atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023.