Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keterbukaan kerajaan dalam menerima sebarang kritikan berkait peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Namun, beliau menegaskan kritikan terhadap perkara itu mesti dibuat berdasarkan fakta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan keputusan kerajaan dibuat tanpa membebankan rakyat terbanyak.
“Apa yang dibangkitkan mengenai SST, saya lihat ada beberapa mahasiswa mengeluh katanya kadar elektrik naik.
“Saya tak faham apakah benar dia terkesan, umpamanya jika ada universiti mengenakan kadar elektrik bagi mahasiswa. Kalau benar, itu kita harus betulkan dan yang saya tahu universiti awam dikecualikan.
“Jadi hal-hal ini disebar kerana kebebasan itu jadi ruang fitnah, ruang maki hamun dan saya harap saudara saudari, adik-adik kita atau anak-anak kita tolong berikan fakta, saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Menurut Anwar, cukai amat penting bagi membolehkan kerajaan membina pelbagai kemudahan untuk rakyat.
“Jika sesebuah negara tak ada cukai langsung, tak mungkin dapat bina sekolah, gaji penjawat awam pun sudah dinaikkan sebab cukai tak ada.
“Jadi cukai ini kalau boleh jangan bebankan rakyat terbanyak dan sebab itu kadar elektrik yang diputuskan oleh Jemaah Menteri, harus elak daripada membebankan rakyat tapi andai kata ada satu dua yang terkena, boleh kita baiki,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata buah-buahan import dikenakan SST bagi menggalakkan hasil penanaman tempatan.
Namun, kata Anwar kerajaan bersikap terbuka untuk membuat mengecualikan cukai terhadap produk tertentu sekiranya perlu.
“Ini sama seperti permintaan daripada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya nlai ambang kelayakan SST dinaikkan.
“Oleh itu, kita naikkan kepada RM1 juta, seperti yang diumumkan. Ini menunjukkan kerajaan mendengar dan bertindak berdasarkan keperluan semasa,” katanya.