26 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua pihak untuk membina negara secara bersama dan bukan sekadar di jalanan.
Ini bagi memastikan negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga.
“Lantas, saya undang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar serta membina negara ini bersama, tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga.
“Kepada saudara, saudari yang hadir sama ada menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh, saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing. Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” katanya.
Demikian kata Anwar selepas Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan PAS di ibu kota selesai, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menzahirkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan yang terlibat dalam mengawal keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.
Menurut Anwar, beliau kekal konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik.
“Justeru, sebagai Perdana Menteri, saya kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan.
“Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.
“Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air,” katanya.
Tambahnya, prinsip sama disemangati kerajaan melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen di mana ahli-ahli Parlimen bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan serta mengangkat bangkangan kepadanya selaku Perdana Menteri secara terus.
“Mohon kalian terus desak ahli-ahli Parlimen untuk terus hadir dan aktif mengambil bahagian di semua sesi, terutamanya sesi PMQT.
“Dan andai kalian berkesempatan lagi di masa hadapan, jangan lupa untuk kembali ke Kuala Lumpur. Mercu-mercu tanda bersejarah di sekitar ibu kota,” katanya.
Kata Anwar, bangunan bersejarah termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka kini sedang dalam rencana pemuliharaan secara besar-besaran agar kita dapat tingkatkan pelancongan dan mendukung ekonomi di sekitar ibu kota yang sarat nilai sejarah, harapan dan semangat nasional terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.