RMK13: 95% perkhidmatan kerajaan sepenuhnya dalam talian menjelang 2030

31 JUL : Kerajaan mensasarkan 95 peratus (%) perkhidmatan Kerajaan Persekutuan akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan pelaksanaan itu, Malaysia mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi AI dan digital.
Menurutnya, kerajaan akan memperkenalkan MyDigital ID sebagai identiti digital tunggal yang selamat dan sahih bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian di bawah usaha pendigitalan perkhidmatan awam melalui GovTech.
“Gerbang tunggal sektor awam juga akan dibangunkan sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan rakyat.
Melalui GovTech juga, sistem kehakiman negara termasuk Mahkamah Syariah akan ditambah baik. Penambahbaikan sistem e‑Syariah dan perekodan prosiding misalnya akan mempermudah dan mempercepat urusan orang awam, pegawai mahkamah termasuk peguam syarie.
“Manakala kerajaan juga sedang melaksanakan projek pembangunan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini yang mengangkat tema melakar semula pembangunan demi mengangkat martabat rakyat.
Dalam pada itu, bagi memperkasa bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya, Anwar berkata penjawat awam akan diberikan latihan intensif dalam bidang digital dan AI.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK