Kerajaan MADANI berani serah kuasa kepada Parlimen

23 OGOS : Komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi dan fiskal dibuktikan dengan menyerahkan kuasa kepada Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan berani itu dilakukan kerajaan hari ini demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.
“Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasa dia kepada Parlimen? Antaranya Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
“Maknanya, kalau Menteri Kewangan itu umum dasar unjuran pertumbuhan, turunkan kadar hutang dan Parlimen luluskan. Kemudian tak dapat dilaksanakan, Menteri Kewangan kena bentang semula kepada Parlimen.
“Ini nak jaga supaya dasar kerajaan itu penuh bertanggungjawab. Ini yang kita luluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2025 Zon Selatan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan membentang Akta Perolehan Kerajaan di Dewan Rakyat, minggu depan.
Katanya, ia merupakan langkah reformasi besar yang tidak berani diambil pentadbiran sebelum ini.
“Ini kerajaan dulu tak berani buat. Sebab apa? Semua perolehan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)…mesti ikut tatacara jelas serta mesti ikut tender melainkan soal keselamatan.
“Kalau betul nak beli radar untuk keselamatan, mesti ada kerahsiaan…itu kita kecualikan,” katanya.
Jelasnya, usaha itu bagi memastikan perolehan awam diurus secara adil, telus dan bebas daripada sebarang salah guna kuasa.
