Kezaliman di Gaza perbuatan haiwan bukan manusia

25 OGOS : Tindakan keji rejim zionis Israel di Gaza, Palestin dilabel sebagai perbuatan haiwan bukannya manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa yang berlaku di Gaza hari ini juga bukan sekadar peperangan tapi penjajahan paling zalim.
“Apa yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan, tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan.
“Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Segalanya dirampas, tanah, rumah, keluarga, nyawa. Namun dunia yang mendabik dada tentang hak asasi dan demokrasi memilih untuk berpaling,” katanya.
Anwar berkata demikian melalui satu kenyataan selepas menghadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka, malam tadi.
Beliau sempat menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada program itu.
Menurut Anwar, dengan himpunan itu, dunia melihat tekad rakyat Malaysia bersama Gaza dan Palestin.
“Alhamdulillah, seluruh dunia melihat rakyat Malaysia bangkit bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan anak-anak kecil dan wanita serta menuntut keadilan yang telah dinafikan sejak puluhan tahun, tatkala tatanan dunia gagal memberi jaminan hidup sebagai manusia buat rakyat Palestin.
“Sejak puluhan tahun, tanah Palestin dirampas, rumah dihancurkan, sekolah dimusnahkan, bahkan masjid dan gereja pun tidak terlepas daripada kezaliman Zionis,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia tetap teguh membela Palestin dan tidak pernah berpaling.
“Dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi mahupun Eropah, tidak pernah saya lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza.
“Hari ini saya tegaskan, usaha belum selesai. Kita harus gandakan sokongan. Malaysia bersama rakan antarabangsa terus menyalurkan bantuan, dari rawatan perubatan hingga peluang pendidikan,” katanya.
Mengulas lanjut, meski perjuangan ini adakalanya terasa melelahkan namun kata Anwar, janji Allah itu pasti.
“Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadangkala terasa buntu dan tanpa harapan. Tetapi janji Allah jelas. Pertolongan-Nya itu dekat.
“Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang,” katanya.

Bersempena bulan kemerdekaan negara, beliau juga mengajak agar meneruskan semangat merdeka itu bersama Palestin.
“Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini.
“Ingatlah, suara yang bergema malam ini bukan suara parti, bukan suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.
“Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian. Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya. Free Palestine!,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan dana tambahan RM100 juta untuk rakyat Palestin.
*OLEH : HANUM RAJAK