15 SEPT : Seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan ke Sabah susulan bencana banjir yang melanda negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jentera kerajaan digerakkan bagi membantu rakyat yang terjejas.
“Saya sangat terkesan akan dampak bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah saat ini. Saya telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan segera RM10 juta untuk mangsa banjir.
“Selain daripada peruntukan sebanyak RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan untuk pembaikan segera kemudahan asas.
“Kerajaan MADANI akan memastikan setiap keluarga yang terkesan untuk segera menerima bantuan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan sempat menyeru semua pihak agar bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.
“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya.
Dua daerah di Sabah yang dilanda banjir merekodkan 412 mangsa terjejas daripada 131 daerah kini ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS).