KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN
S&P Global Ratings (S&P) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-‘ dengan tinjauan ‘Stabil’. Walaupun terdapat ketidaktentuan yang ketara dalam aliran perdagangan global, semakan terkini agensi penarafan kredit ini menunjukkan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Malaysia yang kukuh, sekali gus menghasilkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding negara yang mempunyai pendapatan setara.
S&P menyatakan bahawa asas penarafan tersebut disokong oleh ekonomi yang pelbagai, kestabilan politik yang berterusan, momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran yang seimbang serta defisit fiskal yang mengecil.
S&P menyatakan bahawa kestabilan politik yang dinikmati ketika ini di bawah pentadbiran YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan penggubalan dasar. Ini membolehkan pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal dapat diteruskan. Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Menurut S&P, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh, fleksibiliti yang tinggi dalam dasar monetari serta kedudukan luaran yang seimbang disokong oleh lebihan akaun semasa yang menyederhana dan asas eksport yang berkembang merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada pengekalan penarafan ini. Tambahan pula, S&P menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa serta mengiktiraf komitmen Kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal melalui penambahbaikan dalam pembaharuan subsidi dan perluasan asas hasil.
“Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada menambah baik kualiti kehidupan rakyat (Menaikkan Lantai) serta reformasi ekonomi (Menaikkan Siling), selain memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab. Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kami beriltizam untuk meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tingkat yang lebih tinggi,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Prestasi Fiskal Bertambah Baik Diimbangi oleh Kedudukan Luaran yang Kukuh
Ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan sebanyak 4.4% pada separuh pertama tahun ini dengan pertumbuhan secara meluas. Pertumbuhan ini merangkumi perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan, kadar inflasi yang terkawal, pelancongan domestik yang rancak serta langkah kerajaan yang berterusan dalam mengekalkan kuasa beli pengguna. Aktiviti sektor swasta dan awam yang kukuh, didorong oleh pelaburan yang tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan serta pembangunan infrastruktur akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global yang mencabar. Secara keseluruhan, KDNK Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0% hingga 4.8% pada tahun 2025.
Selain itu, kedudukan luaran Malaysia yang kekal stabil menjadi kekuatan penarafan, memandangkan Malaysia mempunyai rekod lebihan akaun semasa yang konsisten selama lebih dua dekad. S&P menjangkakan lebihan akaun semasa ini akan kekal stabil sekitar 2.1% daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun yang akan datang, dipacu oleh permintaan yang kukuh terhadap sektor pembuatan eksport Malaysia. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai liputan rizab yang mencukupi dan S&P menjangkakan bahawa pasaran modal yang mendalam akan menyokong kestabilan kewangan.
Kerajaan kekal berwaspada dalam menguruskan keadaan ekonomi global yang dinamik, khususnya dasar perdagangan yang sentiasa berubah serta memastikan pelaksanaan dasar yang fleksibel dan tangkas.
Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan menyeluruh yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI bagi mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi, daya tahan ekonomi yang kukuh dan kemampanan fiskal. Selain itu, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 akan memastikan konsolidasi fiskal kekal berada di landasan yang tepat di samping menyediakan sokongan yang mencukupi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Belanjawan 2026 yang dijadual diumumkan bulan hadapan merupakan belanjawan pertama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026-2030.
KEMENTERIAN KEWANGAN