25 SEPT : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneroka teknologi baharu yang dapat mengubah landskap industri penyiaran negara tanpa menggunakan Internet.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata teknologi penyiaran 5G itu masih di peringkat ujian sejak tahun lalu bagi meneliti aspek teknikal.
“5G Broadcast ini adalah satu mod penyiaran baharu yang membolehkan siaran terus dihantar kepada peranti tanpa menggunakan Internet atau talian mudah alih. Ia masih di peringkat percubaan, namun dijangka menjadi standard industri pada masa depan.
“Negara Eropah hanya akan mula menggunakannya sekitar tahun 2027 hingga 2030, jadi kita sekarang sedang bersedia dari segi kawal selia dan teknikal supaya Malaysia tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan 5G Broadcast di Putrajaya, hari ini.
Menurut Fahmi, penilaian teknikal penting dalam memastikan teknologi tersebut dapat dipakai tanpa menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.
Mengulas soal manfaat teknologi itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata ia dapat menambaik pengalaman penonton bagi sesuatu acara melalui ‘venue casting’.
“Bayangkan ketika kejohanan sukan atau perarakan Hari Kebangsaan, penonton bukan sahaja dapat menonton dari rumah, tetapi mereka yang berada di lokasi juga boleh menyaksikan acara dari pelbagai sudut dengan resolusi lebih jelas serta seperti paparan 3D,” katanya.
Meski teknologi itu masih sangat baharu namun pihaknya melihat potensi yang amat besar.
“MCMC sedang meneliti dengan lebih mendalam termasuk bersama rakan-rakan ASEAN sempena kepengerusian Malaysia, untuk merangka hala tuju dan masa depan penyiaran di rantau ini,” katanya.
