Global Sumud Flotilla contoh misi kemanusiaan tanpa batas
3 OKT : Global Sumud Flotilla (GSF) adalah misi kemanusiaan yang murni dalam membantu mereka yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak.
Perkara itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.
Baginda bertitah sukarelawan-sukarelawan yang terlibat di dalam GSF termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
Titah baginda, misi GSF ini adalah contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita.
“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” titah baginda kepada Royal Press Office yang disiar di Faceboo rasmi Sultan Ibrahim Sultan Ismail, hari ini.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar