KDN lulus kewarganegaraan pemain bola sepak sah ikut Perlembagaan
9 OKT : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan proses kelulusan permohonan kewarganegaraan melibatkan tujuh pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah sah dan jelas dari sudut perundangan serta Perlembagaan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu berbangkit antara Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan FAM berkait maklumat palsu perlu diselesaikan antara mereka.
“Justeru, saya jelaskan bahawa semua proses pemberian warganegara kepada tujuh pemain ini mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan.
“Isu mengenai dokumen dan kelayakan pemain adalah perkara di bawah FAM dan FIFA. FIFA mendakwa maklumat yang diberi adalah palsu, manakala FAM menjelaskan maklumat itu diperoleh daripada pemain sendiri. Jadi, biarlah pertikaian itu diselesaikan di antara mereka.
“Dari sudut perundangan dan Perlembagaan, proses di pihak KDN adalah sah dan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.
Soalan dibangkitkan Zakri Hassan (PN-Kangar) meminta Menteri Dalam Negerimenyatakan statistik pemain yang dinaturalisasikan sejak 2018 hingga kini serta kelayakan dan kriteria yang digunakan kerajaan atau FAM dalam proses penentuan seseorang pemain untuk dinaturalisasikan .
Mengulas lanjut, Saifuddin keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.
“Isu ini berbangkit kerana tindakan yang diambil FIFA ke atas pemain bola sepak Harimau Malaya.
“Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan mempertimbang dan memproses keputusan tentang warganegara.
“Ada tiga rukun digunakan untuk membuat keputusan ini iaitu pemohon itu sendiri mesti memohon dan tak boleh melalui ejen. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak pernah guna khidmat ejen.
“Pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, berkelakuan baik dan pemahaman terhadap bahasa Melayu mencukupi. Bila kita semak, perkara itu dipatuhi,” katanya.
Sebelum ini, FIFA dilaporkan mengesan percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan FAM dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.

*FOTO : FACEBOOK KEMENTERIAN DALAM NEGERI