16 OKT : Hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ditetapkan berlangsung pada 29 November ini.
Tarikh itu diumum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun sebentar tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi tarikh-tarikh penting PRN17.
“SPR menerima pemakluman rasmi berkenaan pembubaran DUN Sabah ke-16 pada 6 Oktober 2025.
“Sehubungan itu SPR memutuskan hari ini satu pilihan raya umum DUN Sabah ke-17 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 73 kerusi DUN tersebut.
“Hari penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal 25 November serta hari mengundi pada 29 November,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN17 membabitkan daftar pemilih tambahan Ogos 2025 yang dikemas kini hingga 5 Oktober.
Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 1,784,847 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN17.
Pembubaran DUN Sabah itu diumumkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
DUN Sabah melibatkan 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ahli yang dilantik.
