1 NOV : Kerajaan tidak menetapkan syarat 80 peratus (%) kandungan tempatan dalam permohonan lesen penyiaran di negara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan yang dibuat seorang bekas ketua pengarang itu.
“MCMC merujuk kepada dakwaan yang dibuat seorang bekas ketua pengarang bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80% kandungan tempatan melalui perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
“Dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran yang berkuat kuasa di negara ini,” menurut MCMC.
Jelas MCMC, tiada syarat kuota kandungan tempatan 80% dikenakan terhadap penyiar swasta di Malaysia di bawah lesen Content Applications Service Provider Individual (CASP) atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Menurut MCMC lagi, lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan berdasarkan garis panduan dan piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC.
Selain itu, lesen penyiaran di bawah AKM 1998 juga katanya tidak mengandungi larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana.
“Penjadualan kandungan bergantung kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran dan selaras dengan peraturan kandungan sedia ada,” menurut MCMC.
Dalam pada itu kata MCMC, kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) yang bertujuan memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan yang berkualiti serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa.